Ads 468x60px

Tuesday, August 31, 2010

CIRI-CIRI PELAJAR MUSLIM



Ciri-ciri pelajar muslim cemerlang


Sebenarnya, apabila kita dah mula duduk di alam persekolahan atau belajar di mana-mana institusi pengajian tinggi, perlulah masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk mencapai kecemerlangan. Kita perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajaran, kerana jika kita belajar sambil lewa, terlalu besar kerugian yang akan dialami dalam hidup. Masa terbuang sekian lama, iaitu dari mula sekolah rendah sampailah ke peringkat tingkatan 6, kita membiarkan diri kita menjadi manusia "sambil lewa" atau mempunyai pemikiran "cukup makan" atau "janji lulus" sahaja. Sikap ini pula akan terbawa-bawa dalam pekerjaan dan kehidupan di kemudian hari, sehingga menjadikan orang Islam dikenali sebagai golongan yang tidak serius dalam banyak perkara.



Tidaklah terlalu sukar untuk menjadi manusia yang berjaya dan cemerlang. Agama Islam sendiri telah memberikan kita akan kefahaman mengenai hakikat kejadian dan kemampuan diri kita. Dari situ, bolehlah kita mengatur diri kita dan merancang apa yang sepatutnya.


Pertama, seorang pelajar Muslim mesti mempunyai niat yang betul dalam belajar iaitu belajar kerana Allah SWT. Inilah yang dikatakan sebagai ibadah. Apa sahaja yang dibuat kerana Allah itu adalah ibadah. Sebab itu, untuk menjadikan belajar itu ibadah, pelajar mesti meletakkan niat keranaAllah SWT. Ini merupakan asas utama atau titik tolak yang penting untuk menjadi pelajar Muslim cemerang dalam bidang akademik. Jika kita pisahkan belajar daripada ibadah, maka kita akan menjadi manusia yang rugi. Segala penat lelah kita menghafal dan mentelaah tidak akan mempunyai apa-apa nilai di sisi Allah - tak ada pahala. Lebih rugi jika kita gagal pula dalam pelajaran.


Kedua, kita mesti mempunyai perancangan untuk berjaya. Maknanya merancang pembelajaran kita dengan baik, sesuai dengan kemampuan diri kita. Tidak ada orang yang berjaya tanpa perancangan. Sejak hari pertama menjejakkan kaki di kampus hingga hari terakhir mereka berada di kampus semuanya penuh dengan perancangan dan konsisten mengikut perancangan itu. Mungkin perancangan itu perlu dipinda dari masa ke masa bergantung kepada kesesuaian, tetapi yang penting ada perancangan. Berbincanglah dengan pelajar senior atau guru bagaimana untuk merancang pelajaran. Merancang adalah sebahagian daripada proses pendidikan dan mematangkan diri.


Ketiga, sentiasa lakukan muhasabah diri - menilai kekuatan dan kelemahan diri dari semasa ke semasa. Sifat muhasabah ini mesti ada pada seorang pelajar Muslim contoh, khususnya pencapaian akademik. Kita tidak boleh terus bergerak ke hadapan tanpa proses muhasabah diri, atau melihat apa kekurangan dan kelemahan diri yang perlu diperbaiki sepanjang usaha yang perlu dilakukan. Mungkin usaha dah banyak tetapi keputusan peperiksaan masih tak memuaskan, dan selepas muhasabah, mungkin kita lupa nak berdoa kepada Allah SWT.


Keempat, kita mestilah mempunyai cita-cita untuk berjaya. Pada hari pertama mendaftar, cita-¬cita sudahpun ditanam dan disemai dalam minda dan hati untuk berjaya dengan cemerlang. Jika tiada cita-cita atau masuk tingkatan 6 tanpa cita-cita, lambat laun seseorang pelajar itu tidak akan berjaya sebagaimana orang lain yang berjaya dan maju dalam bidang akademik.

Kelima, tidak berputus asa. Seorang pelajar Muslim mesti meneruskan pelajaran, walaupun mengalami kegagalan buat pertama kalinya. Gagal sekali tidak bermakna terus-menerus gagal. Dalam Islam, sikap berputus asa ini tidak ada dalam kamus mahasiswa atau pelajar.


Keenam, menghadiri kelas. Pertama, pelajar mestilah hadir 100 peratus ke kelas kerana ia adalah tempat penting untuk menimba ilmu dan mengetahui kehendak sebenar apa yang ingin diperlukan dan disampaikan oleh para guru. Ia juga asas atau garis panduan untuk memperkembangkan ilmu yang dipelajari. Tidak hadir, bermakna tidak akan dapat mengetahui kehendak mata pelajaran yang diikuti. Kedua, memberi tumpuan dalam bilik kuliah. Jika boleh duduk di hadapan berdekatan dengan guru supaya apa yang dijelaskan oleh guru itu dapat diserap, dapat dicatit dan dapat didengar dengan penuh perhatian. Pelajar yang duduk di belakang akan sukar memahami kandungan yang difokuskan oleh guru jika bahan pengajarannya atau suara tidak jelas. Ketiga, mendengar dengan teliti dan menganggap semua yang disampaikan oleh guru adalah penting. Keempat, mencatat dengan baik. Jangan masuk kelas tanpa membuat sebarang catatan. Imam syafie pernah menyebutkan, "Tulisan yang kabur itu lebih baik dari otak yang tajam ".


Kelima, memahami apa yang dipelajari. Faham itu adalah rukun dalam pelajaran.Persoalannya, bagaimana kita meningkatkan kefahaman. Antara lain kita berbincang dengan guru. Dengan itu, kita akan lebih faham tentang topik yang disyarahkan di kelas. Kemudiannnya, membuat rujukan di perpustakaan. Berusaha memiliki buku rujukan tertentu bagi subjek-subjek dan kursus-kursus tertentu yang diambil. Kerana jika tidak membuat rujukan kemungkinan apa yang kita fahami itu tidak tepat atau tidak cukup untuk kita menjadi pelajar cemerlang. Pelajar cemerlang mempunyai inisiatif sendiri untuk mendalami sesuatu pelajaran dan suatu ilmu yang dipelajari di kelas. Juga, melatih diri menjawab soalan-soalan peperiksaan kerana ia adalah contoh soalan, ujian atau tahap untuk menguji kefahaman seseorang.


Ciri pelajar Muslim cemerlang seterusnya ialah mempunyai pengurusan masa yang baik. Membahagikan masa untuk belajar, khidmat sosial, khidmat diri dan sebagainya. Pendek kata, pelajar cemerlang itu memiliki pengurusan masa yang strategik, teratur dan baik.


Ketujuh, sikap bersungguh-sungguh. Sebagaimana sabda Nabi SAW, "Siapa yang berusaha dialah yang dapat ". Oleh sebab itu, kesungguhan adalah faktor yang sangat penting untuk menentukan kejayaan seseorang dalam akademik.



Akhirnya, pelajar Muslim mestilah berdoa agar setiap hajat dikabulkan Allah Taala. Apa yang dipelajari akan dipermudahkan. Pendeknya, hubungan antara pelajar dengan Allah SWT memainkan peranan ke arah menjadi pelajar yang cemerlang.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget