Ads 468x60px

Sunday, October 31, 2010

syukur...KARYA SULUNGKU



Oktober,  kelas 5 Sains 2.  Sekolah Menengah Sri Jengka, sebuah sekolah luar bandar. Cuaca murung sepanjang hari Di luar hujan mulai membasahi bumi.

“Ya Allah...janganlah jadi apa-apa kepada ku  hari ini”. Rintihan halus dari naluri ku. Biasanya keadaan cuaca yang sebegini pastinya akan mendatangkan sesuatu yang buruk kepada kesihatan ku. Maklumlah orang yang berpenyakit asthma seperti diri ku ini amat sensitif kepada perubahan cuaca.
Aku melirik ke arah jam tangan yang dipakai Salim, rakan baik ku.
“ Ah, sudah pukul 6.15 petang...dah nak balik”
“Kenapa Shid? Asyik tengok jam aku aje?
“Err.. tak ada apa lah Lim, aku saja nak tau dah pukul berapa? Lagipun hari hujan ni, pastinya jalan becak, nanti pasti kita lambat sampai ke jalan besar. Pak Cik Mud pasti bengang sebab basnya kotor dengan becak yang kita bawa nanti.”
“Ala...biasalah tu, kan sekolah kita ni terletak jauh ke dalam hutan ubi...hujan sikit dah becak...nantilah aku jadi Menteri Pelajaran, aku buat jalan tar sampai kat sekolah ni. Kau kenalah undi aku tau.” Salim  cuba bergurau dengan ku. Hanya Salim sahajalah rakan sekampung ku yang sudi berkongsi suka duka. Rakan-rakan yang lain hanya pandai mengutuk kekurangan fizikal diri ku. Namun aku sudah lali dengan hinaan dari mereka. Biarlah mereka mengata aku dengan bermacam-macam-macam gelaran. Pendek, bantut, mata besar dan macam-macam lagi. Biarkanlah mereka. Aku yakin Tuhan tidak menjadikan keadaan fizikal ku ini sia-sia, pasti ada suatu keistimewaan yang tiada pada orang lain. Alhamdulillahlah!!... Hanya itu yang mampu ku lafazkan setiap kali cercaan itu  ku terima.
“Hoi...cepat sikit, loceng dah bunyi tu...nanti kita lewat sampai kat jalan besar.” Salim mengejutkan ku dari lamunan.
Kami berlari keluar dari kelas sebaik sahaja loceng waktu terakhir berdering. Kelihatan berpusu-pusu pelajar berlari meredah hujan untuk segera sampai ke jalan besar. Kebanyakan pelajar-pelajar itu terdiri daripada anak-anak peneroka sekitar Jengka Pusat. Bas-bas yang menghantar mereka pula tidak dapat memasuki kawasan sekolah setiap kali hujan lebat kerana jalan masuk tersebut akan dipenuhi dengan becak dan lumpur yang tebal. Jalan sejauh 4 km tersebut masih belum bertar.
“Shid, aku blah dulu. Nanti aku tunggu kau dalam bas kat jalan besar.” Salim pantas berlari meredah hujan.
Aku juga turut berlari pantas setelah memasukkan kasut yang ku pakai ke dalam beg sekolah. Aku tak mahu mengotorkan kasut itu kerana hanya itulah satu-satunya kasut sekolah yang ku miliki. Kalau dah kotor kasut tu, esok aku nak pakai apa.
Aku teruskan larian ku. Tiba-tiba aku teringat bahawa   petang tadi aku kehabisan bekalan ubat brecynille. Ubat asthma yang setiap bulan terpaksa ku peroleh dari poliklinik kerajaan   berhampiran. Ayahlah yang menghantar ku setiap bulan ke klinik tersebut dengan motosikal buruknya. Boleh dikatakan semua kakitangan di klinik tersebut telah mengenali ku.
“Nak ambil ubat ke dik?” Itulah persoalan yang kerap kali diajukan setiap kali aku mengunjungi poliklinik tersebut  Setiap hari aku terpaksa menelan tiga jenis pil, setiap satu tiga kali sehari. Itulah rutin ku setiap hari selama lapan tahun yang lalu. Hingga kini entah berapa ribu biji pil ubat telah ku telan, aku pun tak terbilang. Namun petang tadi semasa aku membuka bungkusan plastik ubat  yang sentiasa ku bawa dalam kocek seluar, aku terkejut kerana hanya tinggal sebiji sahaja pil yang ada. Pastinya aku akan diserang asthma  nanti.
Tiba-tiba nafas ku tersekat-sekat. Aku memperlahankan larian ku. Aku tarik nafas dalam-dalam. Aku cuba menenangkan diri ku.
 “Allah.!!..” hanya  itu yang mampu ku ucapkan. Aku terpaksa memperlahankan langkah ku. Dada ku berombak kencang. Nafas ku berbunyi. Sakit dada ku amat terasa. Ku gagahi untuk melangkah, namun aku tidak berdaya. Aku berhenti sebentar. Aku memandang di sekeliling ku. Kelihatan pokok-pokok ubi dan jalan yang dipenuhi becak dan berlopak-lopak.  Kelibat  pelajar-pelajar lain sudah hilang dari pandangan. Masing-masing memecut ke jalan besar. Tinggal aku sendirian.  Lebih kurang lima minit aku berhenti untuk menarik nafas. Ku teruskan perjalanan dengan langkah perlahan. Baju ku dibasahi peluh dan hujan. 20 minit kemudian barulah aku sampai ke jalan besar. Kelihatan bas sekolah ku dari jauh.
“Hoi...cepat sikit. Orang tunggu dah lama ni” Nyaring suara pemandu bas memarahi ku dari dalam bas.
“Hoi bantut kalau dah tau awak tu sakit buat apa datang ke sekolah. Lebih baik duduk rumah, duduk celah ketiak mak lagi bagus!” Kedengaran satu suara   garau  diikuti gelak ketawa yang meletus dari  dalam bas. Aliran air yang panas bercampur titisan hujan   mengalir di pipi ku.
“Allahuakbar...!” aku menyapu pipi ku, sambil menekan dada yang masih lagi sakit.
“Hah...dah lambat, kena duduk kat tangga. Menyusahkan orang saja”
Aku hanya mampu mendiamkan diri sambil menahan kesakitan  yang amat sangat.
Bas bergerak perlahan meninggalkan jalan yang becak. Di luar hujan masih mencurah-curah.
‘Kenapa lambat Shid?” Salim menegur ku sebaik sahaja kami diturunkan  di simpang Jengka 16.  Waktu itu jam sudah menunjukkan jam 7.30 malam. Gelap gelita - hujan masih mencurah-curah.
“Aa...aaku..aku tak larat la Lim, aku kena lelah.” Aku tak mampu meneruskan kata-kata kerana nafas ku tersekat-sekat.
“Kau tak bawa ubat ke?”
Aku  mengangguk lemah.
Salim menolong memapah ku sehingga sampai ke persimpangan menuju ke rumahnya.
“Err...aku dah sampai kat rumah aku, baik kau singgah kat rumah aku dulu. Nanti aku suruh ayah aku hantar kau”
“Tak payah la Lim, aku boleh jalan sendiri”
“Betul kau boleh jalan sendiri?”
“Ya”
“Kalau macam tu baiklah, tapi jalan baik-baik”
“Terima kasih Lim”
“Sama-sama”.
Aku meneruskan langkah menuju ke rumah ku yang masih jauh. Kepala ku rasakan amat berat. Langkah ku perlahan. Dada ku  masih berombak-ombak. Keadaan keliling gelap gelita.
“La, Rashid kenapa ni?” Tiba-tiba aku dikejutkan oleh suara seorang wanita.
“Err...Makcik Ani!”
“Kau lelah ke?”
“Emm..”
“Mari makcik tolong bawa beg hang ni. Mak oi...beratnya beg, tak padan dengan badan hang  yang kecik ni”.
“Makcik datang dari mana?”
“Pi beli barang kat kedai Muniandy sat. Tu yang jumpa hang ni. Tadi ada ayah hang  tanya kat Makcik, Mat Sibi dah balik ke belum. Makcik kata Mat dah sampai kat rumah. Ayah hang cari dengan motor, kot dia guna jalan lain, tu yang tak jumpa hang ni” panjang lebar penjelasannya.
Leteran Makcik Ani ku biarkan tanpa balasan. Aku tak mampu berkata-kata kerana menahan kesakitan yang amat. Tiba-tiba dunia ku rasakan gelap, nafas ku rasakan terhenti. Peluh membasahi baju ku, hanya kedengaran bunyi titisan hujan – semakin lama semakin sayup.

            -----------------------########-----------------------------------

            Hospital Jengka, Oktober 1986.

                        “Shid...ayah datang ni”. Satu suara yang cukup ku kenali memanggil ku. Perlahan ku membuka kelopak mata. Cahaya silau dari mentari pagi menyinar ke muka ku. Aku mengesat mata ku.
            “Err...ayah...macam mana saya boleh ada di sini?” Aku memandang sekeliling. Kelihatan bebrapa katil putih kosng tanpa penghuni. Cuma ada dua orang tua yang kelihatan uzur, masing-masing sedang tidur dengan nyenyaknya.
            “Semalam kau pengsan masa Makcik Ani menghantar kau balik ke rumah dalam hujan. Masa tu ayah tengah mencari kau dengan motosikal. Tak sangka kau nak balik guna jalan pintas. Tu yang ayah tak jumpa dengan kau”
            “Mak kau sungguh risau bila kau tak balik lagi. Hari dah jauh malam, dah pukul 8.30 malam. Hujan pula tu. Itu yang ayah cuba cari kau...tapi...” Ku lihat air jernih mengalir dari kelopak mata ayah. Dia tak mampu lagi berkata-kata. Aku genggam jemari  ayah.
            “Tak apalah ayah. Salah saya juga sebab berdegil nak ke sekolah hari ini, walaupun mak dah larang, lagipun ubat pil dah habis...salah saya juga...maafkan saya ayah...”Aku cuba mengangkat tangan kanan ku untuk menghulurkan tangan memohon maaf kepada ayah ku, tetapi aku berasa sakit yang amat  apabila jarum yang menyalurkan cecair benzoil brecynail  ke lengan ku terlucut. Darah memancut dari urat nadi ku. Ayah tersentak lalu segera memanggil jururawat yang bertugas membetulkan  jarum tersebut.
            “Maafkan saya kak...saya tak sengaja”
            “Tak apa lah dik...lain kali jangan bergerak banyak sangat, nanti terlucut jarum ni, adik juga yang susah” Lembut kata-kata jururawat yang bertugas tersebut. Ku lihat tanda namanya NORANISA.
            Ayah hanya memerhatikan jururawat itu menjalankan tugasnya dengan cekap. Satu suntikan diberikan kepada ku. Aku menahan sakit.
            “Ok lah dik...adik berehat dulu, nanti kakak kejutkan bila tiba masa untuk makan ubat”
“Terima kasih kak”
            “Sama-sama”
            “Err...mak apa khabar ayah?”
            “Laa...hampir ayah lupa. Mak kau kirim salam. Dia tak dapat datang sebab tak ada siapa nak jaga adik-adik kau di rumah. Lagipun motosikal ayah mana boleh bawa ramai-ramai, nanti jadi lori pula” Ayah tersenyum. Namun dalam senyuman itu dapat ku lihat seribu kerisauan bermain di sanubarinya. Aku pasti, ayah ku amat risaukan akan kesihatan ku. Lagipun, aku adalah anak sulungnya. Anak harapan segala kasih sayangnya. Segala harapannya ada pada bahu ku. Kini aku terlantar di atas katil ini. Pastinya seribu persoalan bermain di fikirannya. Aku pasti.
            Hampir setengah jam kami berbual-bual. Waktu melawat kian hampir tamat.
            “Shid...ayah minta diri dulu, esok kalau tak ada apa-apa ayah akan datang lagi.”
            “Baiklah...terima kasih ayah” Aku mencium tangan ayah ku. Bau busuk getah sekerap menerpa ke hidung ku. Ku rasakan bau itu amat harum. Aku tahu kerana dengan bau sekerap itulah ayah ku menyara kami 7 beradik. Kerana bau getah sekerap itulah aku mampu bersekolah. Kerana bau getah itulah aku mampu berpakaian seperti orang lain walaupun tidak secantik mana, dan kerana bau itulah yang mendorong ku untuk terus belajar dengan bersungguh-sungguh.
            “Kau jangan jadi macam ayah, hidup susah, sentiasa merantau, tiada pelajaran. Kau adalah harapan ayah. Kau tunjukkanlah contoh yang baik kepada adik-adik kau” kata-kata itulah yang sentiasa terngiang-ngiang di cuping telinga ku. Kerana kata-kata keramat itulah aku tetap mahu  ke sekolah kelmarin walaupun kesihatan ku tidak mengizinkan. Aku tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran. Aku tidak mahu mengecewakan harapan kedua orang tua ku. Aku adalah harapan mereka. Tidak ku sedar air mata mengalir ke pipi ku tatkala  aku mencium tangan ayah ku. Ayah mengusap rambut ku.
            “Baiklah ayah balik dulu, jangan lupa makan ubat, ikut nasihat doktor” Aku melihat ayah mengesat air matanya. Aku hanya mampu melihat ayah melangkah dengan longlai. Aku memalingkan muka ke arah lain. Aku tak mampu menatap wajahnya lagi.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...