Ads 468x60px

Sunday, October 31, 2010

THIS IS ME

AD SAPIENTIAM

Tanggal 22 Ogos 1969  lahirlah seorang bayi lelaki di kawasan pedalaman  negeri Perak. Ibu dan ayahnya merupakan seorang petani. Bayi  yang dilahirkan itu merupakan anak sulung kepada pasangan tersebut. Kelahirannya ke dunia disambut penuh kesyukuran oleh pasangan tersebut walaupun mereka hidup dalam serba kedaifan. Isteri pasangan itu merupakan seorang yang buta huruf lantaran beliau tidak pernah ke sekolah akibat kemiskinan hidupnya semasa remaja. Sementara si suami setakat darjah tiga Sekolah Melayu sahaja.

Kelahiran bayi itu diharapkan akan membawa sinar kebahagiaan  kepada hidup mereka sekeluarga. Mereka juga seperti mana pasangan yang lain, terlalu mengingini anak sulung mereka ini disaluti pakaian mahal dan berjenama, mempunyai barang mainan yang banyak dan segala keperluan kanak-kanak sebayanya, namun apakan daya, kemiskinan hidup mereka menjadi penghalang. Mempunyai rumah beratap rumbia, berlantai dan berdidingkan buluh yang melindungi mereka sekeluarga dari hujan dan panas dirasakan sudah besar rahmatnya daripada tiada berumah langsung. Dapat menikmati hidangan ikan sepat kering dan ulam pucuk paku di bawah sinaran lampu minyak tanah dirasakan satu nikmat yang tak terhingga. Mereka redha dan bersabar dengan ketentuan Allah.

Walaupun mereka miskin, anak sulung tersebut tetap diberikan pendidikan sewajarnya. Nasib menyebelahi mereka. Ketika anak tersebut bersekolah di darjah 2,  bapanya telah menerima tawaran menjadi peneroka  di sebuah rancangan di pedalaman Pahang. Mereka bersyukur kerana diberikan peluang untuk memperbaiki kehidupan silam mereka. Walaupun terpaksa berhempas pulas mengusahakan ladang getah seluas 10 ekar dan terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan hasil, tetapi kesabaran mereka tetap utuh. Kini mereka dikurniakan cahaya mata seramai  7 orang. Mereka tidak pernah bersunggut, itu adalah rezeki Allah.

Anak sulung pasangan itu pula bersekolah rendah di sebuah tanah rancangan berhampiran. Walaupun terpaksa bersiap ke sekolah seawal jam 9 pagi dan balik ke rumah jam 7 petang tetapi si anak tidak pernah bersunggut, ilmu tetap dicarinya walaupun terpaksa berkorban dalam usia yang masih muda. Ketika anak tersebut berumur 10 tahun, barulah mereka menyedari bahawa anak tersebut akan menderita menanggung penyakit yang tiada ubatnya. Ia adalah penyakit keturunan dari si ibu. Walaupun pada awalnya penyakit itu tidak berapa serius, namun apabila anak tersebut mulai memasuki sekolah menengah penyakit tersebut mulai menjadi kronik. Keadaan menjadi lebih teruk apabila menjelang peperiksaan SRP, sebulan  sebelum peperiksaan,  anak tersebut diserang asthma yang sangat serius sehingga terpaksa dimaksukkan ke hospital selama 2 minggu.  Namun keazaman anak itu sungguh kental kerana sanggup mengulangkaji pelajaran dari atas katil wad. Setiap masa diisi ulangkaji walaupun dalam keadaan kesakitan. Setiap usaha akan dibalas sekiranya dibuat dengan sungguh-sungguh dan redha, begitulah yang terjadi kepada anak itu,  ketika keputusan peperiksaan SRP diumumkan  beliau mendapat pangkat A dan layak menduduki kelas sains di sebuah sekolah menengah berhampiran. Walaupun sudah bersekolah menengah tetapi keadaan fizikal anak ini tidak seperti rakan sebayanya yang lain, lantaran penyakit yang dihidapinya itu. Keadaannya kurus kering. Setiap hari dia terpaksa membawa bekalan ubatnya dalam poket seluar. Ketika waktu rehat, 3 biji pil sublotomol terpaksa ditelan bagi menahan penyakitnya daripada menyerangnya. Begitulah rutinnya setiap hari. Pernah beberapa kali dia kehabisan bekalan ubat, akibatnya dia terpaksa dipapah balik ke rumah oleh rakan-rakannya kerana tidak mampu berjalan dan bernafas dengan betul. Mujurlah ada kawan-kawan yang memahaminya.

Duit belanja sekolah yang diberikan oleh ayahnya cuma 30 sen sahaja, sekadar cukup membeli sebungkus nasi lemak. Namun dia tidak pernah bersunggut, malah tidak malu untuk menjual kerepek ubi yang dibuat ibunya bagi menampung belanja membeli buku dan peralatan sekolahnya. Jauh sekali dia sanggup mensia-siakan wang tersebut membeli rokok walupun ramai rakan sebayanya sudah pandai berjinak-jinak dengan rokok. Dia tidak sanggup mengecewakan harapan ibu bapanya. Dia sedar bahawa dia adalah anak seorang penoreh getah yang tidak mampu memenuhi segala keinginannya kecuali dengan ilmu, sebab itulah dia belajar bersungguh-sunggguh. Peristiwa 2 tahun lalu kini berulang kembali, penyakit lelahnya kembali serius ketika terlalu hampir dengan SPM. Kali ini lebih teruk dari yang dahulu. Mungkin kerana lama berada di hospital dan kesukaran membuat ulangkaji secara bersendirian menyebabkan keputusan SPMnya hanya sekadar cukup untuk memohon ke tingkatan 6 di sebuah sekolah di Kuala Lipis yang jaraknya beratus batu dari rumah.

Namun jarak dan waktu bukanlah penghalang kepada kemahuan anak muda ini untuk menebus kegagalan lalu. Lantas atas keinsafan dan kekecewaan yang telah dilaluinya, kini anak muda itu bangkit dengan satu kesedaran untuk memperbaiki kelemahan diri. Sekali gagal bukan bererti gagal untuk selamanya. Motto sekolah barunya iaitu AD SAPENTIAM (Kemahuan Asas Kejayaan) benar-benar telah merubah seluruh kehidupannya. Dia tidak mahu lagi terus kecundang, langkah harus diatur, cabaran harus ditempuh, halangan perlu dirempuh. Walupun dirinya sering ‘dianak tirikan’ oleh segelintir guru kerana dirinya bukanlah golongan genius yang boleh membanggakan sekolahnya, namun azam dan keteguhannya tidak mengenal erti putus asa. Maruah keluarga perlu dibela, langkah perlu dihela. Usaha dan tawakal silih berganti, tanpa mengira masa. Akhirnya kejayaan mengunjung tiba, keputusan peperiksaan STPM seperti dipinta, 5 Prinsipal digenggam jua. Kini dia tersenyum bangga, keluarga tumpang gembira. Kaum kerabat membuka mata, nak FELDA berjaya jua.

Kini, menara gading tempat dituju, di situlah gedung segala ilmu. Langkah bermaruah disusun megah, bersama ayah mengiring megah. Gelaran siswazah kini diraih, pengikat kasih ayah dan bonda. Teramat kasih mereka sekeluarga, anaknya kini insan terpilih. Peluang dan ruang tidak disiakan, segala ilmu dituntut jua, walau di mana ia berada. Walau ia berada jauh di mata, doa dan harapan mengiring jua. Takdir menentukan segala, si anak terpaksa berpisah jauh di perantauan. Berada di Sabah bukanlah penyudah,perjuangan perlu diteruskan. Segenggam ijazah mejadi impian, buat penawar ibu dan ayah yang telah banyak berkorban.

Empat tahun penuh perjuangan, onak dan duri berjaya diatasi. Kini bermulalah episod indah dalam kehidupan. Kerjaya menanti di hadapan. Berkat doa ibu dan ayah, pemuda itu akhirnya berjaya memohon Diploma Pendidikan bagi membolehkannya menjadi seorang pendidik. Kini pemuda itu terus menabur jasa mencurah bakti mendidik anak bangsa mencari identiti diri. Hanya satu sahaja harapannya nanti, agar anak-anaknya tidak merasai keperitan kehidupan yang terpaksa dilaluinya dahulu. Biarlah memori pahit itu menjadi pengalaman yang berharga dalam kehidupanya. Semoga anak-anaknya mengerti!


Penulis kini adalah merupakan seorang guru yang telah mengajar selama 15 tahun bermula dari tahun 1994. Berpengalaman mengajar di beberapa buah sekolah di Sarawak, Johor dan Pulau Pinang. Bidang kepakarannya ialah Geografi Tingkatan 6. Seorang Jurulatih Utama Geografi Negeri P.Pinang, pemeriksa Kertas Geografi STPM, dan pelbagai tugas lain.

Penyakit asthma yang dihidapinya masih belum dapat disembuhkan sepenuhnya sehingga ke hari ini.



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...